Showing posts with label Tingkatan 3. Show all posts
Showing posts with label Tingkatan 3. Show all posts

Sunday, April 25, 2010

Soalan Novel -Pengajaran

BAHAGIAN D: NOVEL
SOALAN
“ Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan negara kita dan rela berkorban “.
Berdasarkan pengajaran di atas, berikan dua contoh peristiwa daripada novel tingkatan 1 dan dua contoh peristiwa daripada novel tingkatan 3.

Dua contoh peristiwa daripada novel tingkatan satu iaitu Aku Anak Timur ialah Zarina berasa marah apabila ada orang asing yang tidak tahu tentang Malaysia tetapi mengetahui tentang Singapura.dan peristiwa Zarina akhirnya sedar bahawa hanya Malaysia negara yang perlu dihargai dan dicintai setelah merasai kesusahan hidup di negara orang. Dua contoh peristiwa daripada novel tingkatan tiga iaitu Merdeka! Merdeka! ialah peristiwa Pak Awang yang sanggup meletak jawatannya sebagai kerani kerana ingin terus berjuang dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Contoh peristiwa kedua ialah peristiwa Datuk Onn yang sanggup menjelajah dari satu negeri ke satu negeri lain untuk mendapatkan sokongan rakyat agar menentang penjajah.


Jika soalan minta daripada novel tingkatan 2 ( Kapten Hassan Wira Bangsa )
Dan Tingkatan 3 (Merdeka!Merdeka!)

Dua contoh peristiwa daripada novel tingkatan dua iaitu Kapten Hassan Wira Bangsa ialah Kapten Hassan dan pasukannya bertempur bermati- matian dengan sekumpulan pengganas yang cuba menggagalkan sambutan hari kemerdekaan di Ladang Getah Waterfall. Contoh peristiwa kedua ialah Kapten Hassan tidak termakan pujuk rayu Ah Kiew pengganas wanita yang ditugaskan untuk menggoda Kapten Hassan agar membocorkan rahsia keselamatan kerana rasa cinta akan negara sebaliknya dia berjaya memujuk Ah Kiew agar memujuk pengganas lain untuk menyerah diri. Dua contoh peristiwa daripada novel tingkatan tiga iaitu Merdeka! Merdeka! Ialah peristiwa Pak Awang yang sanggup meletak jawatannya sebagai kerani kerana ingin terus berjuang dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Contoh peristiwa kedua ialah peristiwa Datuk Onn yang sanggup menjelajah dari satu negeri ke satu negeri lain untuk mendapatkan sokongan rakyat agar menentang penjajah.

Nota MEDEKA!MERDEKA!

MERDEKA! MERDEKA!
TEMA
Perjuangan penduduk tempatan menuntut kemerdekaan tanah air.
- Penduduk Kampung Teras Jernang berjuang mempertahankan kampung mereka daripada serangan musuh negara.
- Perjuangan Dato’ Onn dalam mengumpul sokongan rakyat Tanah Melayu untuk memastikan Malayan Unian gagal diistiharkan

PERSOALAN
1. Bersatu padu untuk mencapai kejayaan. Contohnya, Kudin dan kawan-kawanya berusaha menubuhkan pasukan keselamatan Kampung Teras Jernang dan membina kubu-kubu serta bergilir-gilir mengawal kubu bagi mempertahankan kampung mereka daripada serangan pengganas.

2. Kerjasama dalam mempertahankan tanah air. Contohnya, Penduduk Kampung Teras Jernang dan penduduk di kampong berhampiran saling bekerjasama mempertahankan kampung daripada serangan komunis.

3. Pengorbanan dalam sesebuah perjuangan. Contohnya, kesanggupan Pak Awang untuk berhenti kerja apabila diugut oleh Tuan White supaya tidak meneruskan perjuangannya dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.

WATAK & PERWATAKAN
A. Kudin
1. Seorang yang penyayang. Contohnya, dia amat menyayangi kedua-dua orang tuanya dan begitu sedih apabila mengetahui ayahnya yang menyertai gerakan mencari Bustam anak Pak Kasa terbunuh.

2. Seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, sebagai ketua pemuda di kampungnya, dia sering meninjau keadaan kubu-kubu dan pertahanan yang dibina untuk mempertahankan kampung mereka dan mengambil tahu masalah rakan-rakannya.

3.Seorang yang petah berkata-kata. Contohnya, ucapannya dalam mesyuarat agung di Kuala Lumpur mendapat pujian daripada perwakilan termasuk Sultan Selangor.



B. Pak Awang
1. Seorang yang berpendirian tegas. Contohnya, walaupun diugut oleh Tuan White agar berhenti daripada perjuangannya, dia tetap juga meneruskan perjuangannya menentang penjajah dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.

2. Seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, ikut serta dalam gerakan mencari Bustam kerana Pak Awang yang mencadangkan agar golongan pemuda turut serta dalam perjuangan mereka.

3. Seorang yang berani. Contohnya, turut mengangkat senjata bagi mempertahankan kampung Teras Jernang daripada serangan pengganas.

NILAI MURNI
1. Keberanian. Contohnya, Kudin dan penduduk Kampung Teras Jernang berani mempertahankan kampung mereka daripada serangan pengganas.

2. Kerjasama. Contohnya, seluruh penduduk Kampung Teras Jernang tidak kira tua atau muda bekerjasama membina kubu-kubu pertahanan dan melakukan rondaan serta bekerjasama dengan pasukan pertahanan kampung-kampung lain.

3. Bersatu-padu. Contohnya, rakyat Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu-padu menentang penubuhan Malayan Union dengan melakukan perarakan dan berhimpun di hadapan Hotel Stesen.

PENGAJARAN
1. Kita mestilah bersatu-padu jika kita inginkan kejayaan dalam apa-apa yang diperjuangkan. Contohnya, masyarakat Tanah Melayu bersatu-padu dengan menyertai perarakan dan perhimpunan raksasa yang meminta agar Raja-raja Melayu memulau majlis peristiharaan Malayan Union.

2. Kita mestilah berani mempertahankan tanah air. Contohnya, Kudin Bustam, Pak Awang dan penduduk –penduduk kampung Teras Jernang yang lain berani mempertaruhkan nyawa dengan bertugas di kubu demi menjamin keselamatan kampung mereka.

3. Kita mestilah bekerjasama dalam melakukan sesuatu tugas. Contohnya, penduduk-penduduk Kampung TerasJernang bekerjasama mengawal kubu-kubu yang dibina daripada serangan pengganas.

A. LATAR TEMPAT
1. Kampung Teras Jernang. Tempat tinggal Kudin, Mak Bibah dan Pak Awang. Kasim dan Osman pernah dating ke rumah ini untuk memujuk agar Pak Awang berhenti daripada bergiat dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.

2. Hotel Stesen. Tempat Raja-raja Melayu berhimpun sebelum menghadiri upacara perasmian Malayan Union.

3. Di dalam bas dab kereta api. Kenderaan yang dinaiki oleh Kudin dan Ibrahim dari Gerik ke Kuala Lumpur yang melibatkan jarak sejauh 60 batu.

B LATAR MASYARAKAT
1. Masyarakat yang saling membantu. Contohnya, Kudin dan kawan-kawannya walaupun masih muda turut membantu membina kubu-kubu dan mengawalnya. Malah Pak Awang dan beberapa penduduk kampong yang lain turut membantu Pak Kasa mencari anaknya Bustam yang telah dilarikan pengganas.

2. Masyarakat yang bersatu- padu. Contohnya, dalam usaha menentang penubuhan Malayan Union, setiap lapisan masyarakat, persatuan-persatuan dan orang perseorangan bersatu- padu menyertai perarakan raksasa pada hari perasmian Malayan Union yang menyebabkan Raja-raja Melayu memulaukan majlis tersebut.

3. Masyarakat kampung yang melakukan pelbagai pekerjaan. Contohnya, penduduk-penduduk Teras Jernang ada yang bekerja sebagai penoreh getah, menjual kuih, kerani, pegawai kerajaan dan bekerja di bandar bagi menyara diri seperti Pak Awang yang bekerja sebagai kerani.

TEKNIK
1. Teknik dialog. Contohnya, perbualan antara Pak Awang dengan Kasim dan Osman yang menyampaikan arahan Tuan White agar Pak Awang berhenti daripada perjuangannya dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.

2. Teknik imbas kembali. Contohnya, Mak Bibah teringat kembali peristiwa dia tidak menyetujui penglibatan Kudin dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan.

3. Teknik imbas muka. Contohnya, Kudin membayangkan suatu hari nanti dia akan menjadi seorang pentadbir dan bekerja di bangunan yang dilihatnya itu dan pada masa itu, Negara sudah merdeka.

Wednesday, April 21, 2010

Latihan Penjodoh Bilangan T 3

Betulkan kesalahan penggunaan penjodoh bilangan yang terdapat dalam ayat di bawah.
1 Akibat cuaca yang terlalu panas, Salim meneguk beberapa titis air dalam masa yang singkat sahaja.
2 Adik menggosok badannya dengan sepapan sabun mandi.
3 Alia memberikan segumpal nasi kepada ayam jantan kesayangannya.
4 Kakak membelikan saya sepotong anting-anting yang cantik.
5 Aliza kehilangan sebiji cincin berlian yang mahal harganya.
6 Lucy memasukkan secekak garam ke dalam kari yang sedang menggelegak. 7 Pengemis tersebut menjumpai segugus roti di dalam tong sampah. 8 Ros menggubah sekuntum bunga untuk diletakkan di ruang tamu. Penjodoh Bilangan




1. Ada kata nama yang tidak boleh disertai dengan penjodoh bilangan. Contohnya:
a) - semua orang lelaki (salah)
- semua lelaki (betul)
b) - seluruh buah negara (salah)
- seluruh negara (betul)
d) - tiap-tiap (setiap) orang pekerja (salah)
- tiap-tiap (setiap) pekerja (betul)
2.Penjodoh bilangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak. Contohnya:
a) - Dia rajin bekerja demi sebuah kehidupan yang bahagia. (salah)
- Dia rajin bekerja demi kehidupan yang bahagia. (betul)
b) - Mesyuarat itu diadakan untuk mendapatkan sebuah persetujuan ahli-ahli persatuan bagi aktiviti lawatan
sambil belajar. (salah)
- Mesyuarat itu diadakan untuk mendapatkan persetujuan ahli-ahli persatuan bagi aktiviti lawatan
sambil belajar. (betul)
c) - Kamarul mengimpikan sebuah kejayaan dalam kerjayanya. (salah)
- Kamarul mengimpikan kejayaan dalam kerjayanya. (betul)
d) - Kejayaan anak-anak menuntut sebuah pengorbanan ibu bapa. (salah)
- Kejayaan anak-anak menuntut pengorbanan ibu bapa. (betul)