Monday, May 17, 2010

Karangan Bahan Rangsangan- Usaha - usaha Mengatasi Kemalangan Jalan Raya

Mengikut statistik yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 8 Jun 2004, orang Melayu merupakan golongan yang paling ramai terbunuh dalam nahas jalan raya dari Januari hingga April 2004, dengan jumlah 1,207 orang daripada 1,860 kematian. Dari segi umur pula, golongan muda berumur 16 tahun - 25 tahun merupakan golongan yang paling ramai terbunuh dalam nahas jalan raya dalam tempoh yang sama, dengan jumlah seramai 605 orang dari 1,860 kematian. Ramai orang tidak menyedari betapa besarnya impak yang boleh menimpa ke atas kewangan mereka apabila kemalangan berlaku, tidak kira kemalangan jalan raya mahupun apa jua jenis kemalangan.
Bagi memastikan perjalanan kita selamat tiba ke destinasi, kita perlu memandu secara berhemah. Kata orang, "biar lambat, asal selamat". Kita perlu memandu dengan berhati-hati. Bukanlah memandu dalam kadar perlahan sehingga menyusahkan pengguna yang lain, tetapi yang penting sentiasa berhati-hati, memikirkan pengguna yang lain dan bertenang ketika menghadapi kesesakan. Memang ada pengguna yang membawa laju dan dalam keadaan berbahaya, tetapi jangan sesekali kita terdorong untuk melawan mereka. Mereka tidak takut mati, kita mahu mati dalam keadaan iman. Bukan mati sia-sia.
Kita juga perlu mematuhi had laju yang ditetapkan. Jika di lebuh raya, kenderaan yang dipandu jangan melebihi 110 kilometer sejam. Memang ada keinginan untuk cepat sampai, apatah lagi menaiki kereta baru dan mahu menguji daya pecutan kereta, namun hargai nyawa sendiri dan nyawa pengguna yang lain. Tidak akan lari gunung yang dikejar. Had laju yang ditetapkan menjanjikan keselamatan semua pengguna jalan raya. Jika mahu memandu laju, lebuh raya bukan tempatnya, sebaliknya memandulah di litar perlumbaan yang sebenar.
Pada waktu yang sama, kita perlu memastikan kenderaan digunakan dalam keadaan yang baik. Sebelum memandu, apatah lagi untuk perjalanan yang jauh seperti untuk pulang ke kampung bagi menyambut hari perayaan, kereta yang bakal digunakan perlu dalam keadaan sempurna, tayar masih berbunga, brek dalam keadaan baik, dan kenderaan telah diservis keseluruhannya. Sebab, jika kenderaan menghadapi kerosakan boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Banyak kemalangan berlaku apabila pemandu meletakkan kenderaan di tepi jalan dan pengguna yang lain tidak menyedari ada kereta di tepi jalan.
Kita perlu ingat orang yang tersayang. Kita perlu ingat bahawa apa-apa yang terjadi kepada kita akan menyusahkan orang yang hidup. Ibu bapa, adik-beradik, dan saudara mara. Bagi si ayah yang maut dalam kemalangan di jalan raya, akan menyebabkan anak-anak di rumah tiada pembelaan dan si isteri pula terkapai-kapai mencari nafkah meneruskan kehidupan. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain dapat membantu anak-anak yang ditinggalkan, sebaliknya sebagai orang yang diberikan amanah, anak-anak perlu diberikan perhatian, kasih sayang, dan wang untuk membesar dalam keadaan sempurna.
Kesimpulannya, masalah kemalangan di jalan raya boleh diatasi jika ada kesedaran setiap ahli masyarakat. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain boleh mengatasi masalah tersebut sekiranya kita masih menganggap jalan raya sebagai gelanggang menunjukkan kekuatan. Banyak pencapaian gemilang rakyat Malaysia di peringkat dunia yang boleh diraih. Dunia memandang Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang hebat. Oleh itu, jangan jadikan peningkatan jumlah kemalangan kegemilangan Malaysia.

2 comments:

rekakubera said...

Rangsangan in sangat berguna

Fatin Jieha said...

Terima kasih untuk karangan ini. =)

Post a Comment